09 October 2011

Berbalas Pantun - Hati

Lelaki:
Hendak gugur,gugurlah nangka
Jangan menimpa si dahan pauh
Hendak tidur, tidurlah mata
Jangan mengenang orang yang jauh.

Perempuan:
Pedati lembu berkereta kuda
Dibawa oleh anak Pak Abu
Kenapa pula wahai kekanda
Pada siapa hati merindu?

Lelaki:
Sepatu lama jangan ditukar
Jika ditukar patahlah hati
Terkadang rasa nya begitu sukar
Untuk selami hati sendiri.

Perempuan:
Hendak gugur, gugurlah nangka
Nangka masak gugur diperdu
Hendak tidur, tidurlah kanda
Yang jauh dikenang terubat kah rindu?

Lelaki:
Sepatu lama jangan ditukar
Beli yang baru menambah jumlah
Begitu lama hati terbakar
Sepi dan syahdu saling bertingkah.

Perempuan:
Kunang-kunang dipohon mengkudu
Pandang tak jemu bertambah minat
Usah dikenang usah dirindu
Ajak bertemu selesaikan hajat.

Lelaki:
Air sungai berpusar-pusar
Jangan lama duduk berendam
Usahlah puan berasa gusar
Jiwa hamba masih tenteram.

Perempuan:
Tidaklah hamba menyibuk diri
Hendak bicara perihal orang
Sungguh senang rasa dihati
Kerana kekanda masih bertenang.

Lelaki:
Indah sungguh mawar berduri
Terlihat teruna dipetik ia
Puan sungguh orang berbudi
Tutur mu buat hamba ceria.

No comments:

Post a Comment