02 December 2015

Sajak Untuk Anak Ku




Perjalanan terjauh dan terberat.

video

12 November 2015

Nasyid- Ya Rasul Allah

video
                                   
                                                                                                            The Malay Chanting Group.

Lagu Tiang Ugama- Zaharah Agus

video

09 October 2015

Berbalas Pantun

Jual:

Buah selasih sibuah pauh

Buat santapan di petang hari

Orang ku kasih semakin jauh

Mungkin tak dapat bertemu lagi


Beli 1:

Belayar sampan disubuh hari

Mengiring raja ke Tanjung Batu

Biar pun tak mungkin bertemu lagi

Kirimlah kabar untuk diri ku


 Beli 2:
 Beli cendawan berat sekati
 Makan sehingga berpeluh dahi
 Berihat sejenak diatas batu
 Madah tuan menyentuh hati
 Berdoalah kita pada Ilahi 
 Semoga di Jannah akan bersatu.

18 September 2015

Gurindam- Hidup

Biarlah hidup kita susah
Namun terus bergantung kepada Allah 
Tak guna hidup mewah dan senang
Kalau hati sentiasa tak tenang

Tak guna tubuh bersalut emas
Kalau hati sentiasa cemas
Tidur malam sering tak lena
Sangat takut menuju pusara
Hati kasih pada dunia
Ingin hidup selama-lamanya

Kembalilah kita kepada Allah
Hanya Ia perlu disembah
Semasa senang mau pun susah
Tanda kita makhluk yang pasrah.

Lagu- Kita ini tetamu senja.

video


Petikan sajak Usman Awang dengan tajuk yang sama.

08 July 2015

Pantun- Baju raya

Buah bedara bawa berlayar
Masak sejambak timbang sekati
Hutang negara rakyat yang bayar
Terpaksa bekerja sampai kemati

Baju melayu berkain sampin
Baju kurung bewarna warni
Rosak negara kerana pemimpin
Rosak pemimpin kerana bini

Baju raya bewarna warni
Boleh dipakai bertukar ganti
Rosak pemimpin kerana bini
Merana rakyat kerana GST.


21 June 2015

Seloka Hari Rabu

Hari ini hari rabu
Ukir senyuman semanis madu
Orang pandang tak akan jemu
Buang segala rasa cemburu
Tanam semangat ingin maju
Semoga hidup suksess selalu.

05 June 2015

Pantun Presiden PAS- Bertanding

Ambil lading menetak ular
Ke Tanah Abang barang dikaut
Boleh bertanding jangan mencalar
Biduk lalu kiambang bertaut

Rebung buluh dibuat ulam
Kumpul diikat dengan getah
Berpegang teguh dengan Islam
Membujur lalu melintang patah.

Dalam ucapan perasmian Muktamar PAS Ke61 pada 4 Jun 2015.

27 May 2015

Pantun seloka-bingung?



Tambat keldai ditiang pagar
Tiangnya kasar tapi melengkong
Konon pandai semasa belajar
Dah jadi pembesar kenapa bingung?

Ibu muda sarat mengandung
Pilih makanan berhati-hati
Biarkan rakyat kata ku bingung
Asalkan bos ku senang dihati

Hati terguris sekian lama
Tidak diindah tidak disapa
Biar menoreh sepokok cuma
Harga yang rendah rakyat dah lupa

Semua orang berbaju biru
Hamba seorang berbaju hitam
Kalau mengikut pesan tok guru
Jangan berdamping dengan syaitan.

29 April 2015

Lagu PAS




Pantun- Hanya satu

Banyak rimba tumbuh diatas tebing
Hanya satu yang subur menghijau
Banyak kumbang beredar berkeliling
Hanya satu yang ku idam dan ku igau

Jika sungai mengalir kehulu
Banyak ikan menghempas ditepi muara
Jika tidak bertemu yang ku rindu
Hati dendam tak puas selamanya.


01 April 2015

Pantun- Tanda iman


                          Selagi hayat dikandung badan
                          Hidup ceria sesama insan
                          Suci dan bersih sentiasa diamalkan
                          Inilah tandanya manusia beriman.

Masjid Felda Triang Satu, Bera, Pahang.

27 March 2015

Seloka- Keluhan rakyat

Hati rakyat sedih dan pilu
pada siapa mahu mengadu
pada pemimpin berlambang biru?
ya! boleh saja kita seru
membantu ke tidak belum tentu
kerana yang difikir 'kroni' sebulu
rakyat kecil tunggu dahulu..
Hati rakyat sedih lagi
mau rasanya 'terkancing gigi'
belanja besar dari gaji
harga barang melambung tinggi
ditambah lagi nak kena GST
ada yang faham ada yang tak mengerti
sepatut beri penjelasan lebih terperinci
bukannya pusing kanan pusing kiri
rakyat diberi janji dicapati..
Rakyat disuruh berjimat cermat
sedangkan pemimpin boros teramat
bagaimana negara akan selamat
hutang negara kian meningkat
mana perginya 'tuan penasihat' ?
ekonomi negara sedang gawat
kenapa perjanjian jet baru pulak yang dibuat
bukannya rakyat yang mendapat manfaat
takkanlah pemimpin berotak karat
perkara mudah dijadikan berat
jangan rakyat dianggap keparat
kerana menegur amalan tak sihat

apa yang sekarang pemimpin duk buat.......

     Karya Pi Emm, Al Kobar Saudi Arabia.

07 March 2015

Pantun Sri Mersing



Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba mengkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang hamba terbuang lalu.

28 February 2015

Pantun 2 kerat- kucing & tikus.


Ada kucing ada tikus,
Lepas kencing tolong jurus (jirus).

Tandas sebuah masjid di Balik Pulau, Pulau Pinang.

25 February 2015

Seloka- Duit.

Duit tak boleh dibawa mati..  tapi  tak ada duit rasa macam nak mati.
Duit tak boleh beli kasih sayang..  tapi tak ada duit kasih sayang boleh melayang.
Duit tak boleh beli tidur ..  tapi bila tak ada duit  tidur pun tak lena.
Duit tak boleh beli kesihatan..  tapi nak jaga kesihatan pun kena ada duit.
Duit tak boleh beli ilmu… tapi nak menuntut ilmu pun kena  pakai duit.
Orang bodoh  pun boleh nampak cerdik bila ada duit.. malah orang pandai akan nampak bodoh bila tak ada duit.
Iman tak akan dapat dibeli dengan duit.. tapi duit boleh menggugat iman.
Kesimpulannya…. Duit bukanlah segalanya, tapi segalanya perlukan duit.  

tapi ingatlah 4 perkara yang mesti dijawab didepan Allah swt diakhirat nanti..

Dari Abu Barzah Nadhlah bin Ubaid al-Aslami r.a. Rasulllah saw bersabda:
Belum berganjak lagi kedua kaki seorang hamba Allah (didepan Allah swt diPadang Mahsyar), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya akan umurnya untuk apa dihabiskannya. Dan akan ditanya akan ilmunya- untuk apa digunakannya. Dan akan ditanya tentang hartanya- dari mana diperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya. Dan akan ditanya tentang tubuh badannya- untuk apa digunakannya.
                                                                                                                       Hadis riwayat Termizi.

Pantun Dr MAZA