12 October 2018

Pantun-. Malaysia Baru.

Jalan diturap waktu nak raya
Sudah berlubang laksana telaga
Jangan berharap pada manusia
Janji dibuat menang tak diduga.

Bukit Putus kampong Pak Jusoh
Disitu tempatnya lahir dan mati
GST enam peratus telah dimansuh
SST sepuluh peratus pula diganti.

Pokok terap depan gereja
Tempat berehat nuri dan sewah
Negara nak bankrup terus dijaja
Pemimpin menginap dihotel mewah.

Semangat pahlawan terus membara
Demi negara dan bangsa kita bersatu
Konon Najib habiskan wang negara
Tapi sekolah Cina dan India boleh dibantu

Sekali berubat sakit dah sembuh
Ubat dibuat diluar negeri
Sebat syariah mereka nak heboh
Nak cegah maksiat bukan kerja menteri?

Sarang kedidi di hujung dahan
Tupai bersarang dipohon nangka
Rakyat dah berani buat perubahan
PRU depan kita tolaklah mereka.



19 September 2018

Pantun-tahun melawat Perak.



Seluang melaut balik ketepi
Anak haruan jadi buruan
Bukit Larut memikat hati
Udaranya nyaman indah mempesonakan.

05 March 2018

Seloka-Subuh Itu Jelmaan Diri

Jika subuhnya sentiasa dipelihara
Tanda selamat dari neraka

Jika subuhnya tak pernah ditinggal
Allah lindunginya dari aral

Jika subuhnya didahului sunat
Dunia dan isinya dia dapat

Jika subuhnya bergelap kemusolla
Dikegelapan akhirat mendapat cahaya

Jika subuh kecerah berwirid lagi
Mendapat pahala umrah dan haji

Jika subuhnya tiada dijaga
Pada wajahnya tiada cahaya

Jika subuhnya sengaja dilupa
Tanda imannya tiada bernyawa

Jika subuhnya terasa berat
Tanda munafik sudah mendekat

Jika subuhnya tidak dipeduli
Tanda imannya hampir mati

Jika subuhnya tidak berjemaah
Tanda hidupnya hilang barakah

Jika subuhnya tidak kemesjid
Tanda imannya ada penyakit

Jika subuhnya selalu terlewat
Tanda imannya semakin cacat

Jika subuhnya diakhir waktu
Tanda imannya semakin kelabu

Jika subuhnya hari dah siang
Tanda rezekinya dah hampir hilang

Jika subuhnya masih berdengkur
Tanda syaitan memeluknya tidur.

27 February 2018

Seloka-YB dan PRU

YB dikota dah pulang kedesa
YB menghilang sudah dijumpa
Sudah hadir kenduri kendara
Dah mula ziarah sanak saudara

Sembunyi mercedes sembunyi waja
Naik kancil dan motor saja
Ada yang berbasikal dijalanraya
Singgah kedai kopi bertegur sapa

Senyuman manis penuh mesra
Semua ditegur bak kenalan lama
Satu kedai kopi pasti dia belanja
Bolehlah order apa sahaja

Solat jenazah pasti dia ada
Siap dipikul keranda dibahunya
Ketanah kubur pun turut sama
Padahal sebelum ini tak nampak muka

Rakyat mengadu disambut mesra
Mak Datin pun dah mula bertudung kepala
Hadir kemasjid program ugama
Konon dah mula berubah rasa

Inilah drama pilihanraya
Ulang berulang setiap masa
Sayangnya rakyat mudah lupa
Bila dapat beras kopi dan gula.