28 October 2010

Tips kesihatan.

Ubat buasir.
1.Akar pokok terung belanda atau dikenali sebagai terung anggur dipotong halus (1-5cm)
2.Akar pokok pepulut juga dipotong halus.
Campurkan keduanya dengan kadar samabanyak (50/50) direbus hingga tinggal separuh airnya.
Minum segelas 2 kali sehari, insyaAllah mujarab.
*Pokok-pokok ini adalah pokok renek yang biasanya tumbuh liar dipadang terbiar atau belukar.

Renungan

Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru kejalan asobiyah.
Bukan dari kalangan kita orang yang berjuang atas dasar asobiyah
Dan bukan dari kalangan kita orang yang mati diatas dasar asobiyah.
                                                     Hadis riwayat Musli & Abu Daud.

LAGU RAKYAT

Lagu ini sering dinyanyikan oleh kaum ibu bagi menidurkan anak-anak kecil dalam buaian satu ketika dahulu.

Tepuklah amai-amai
Belalanglah kupu-kupu
Tepuk beramai-ramai
Persidangan Agong sudah berlalu.

Belalanglah kupu-kupu
Santan kelapa muda
Persidangan Agong sudah berlalu
Amanat Presiden janganlah lupa.

Santan kelapa muda
Masak lemak berlauk ikan
Amanat Presiden janganlah lupa
Rakyat hendaklah diutamakan.

Masak lemak berlauk ikan
Ikan sepat tangkapan nelayan
Rakyat hendaklah diutamakan
Bukan kerabat saja nak dilayan.

Ikan sepat tangkapan nelayan
Ikan betulu buat jualan
Bukan kerabat saja nak dilayan
Pilih bulu dah jadi amalan.

Ikan betulu buat jualan
Ikan tenggiri dilepas berenang
Pilih bulu dah jadi amalan
Nak betulkan ini bukannya senang.

Ikan tenggiri dilepas berenang
Ikan sembilang ditapak tangan
Nak betulkan ini bukannya senang
Kumpulan ini dah ketinggalan zaman.

PANTUN NASIHAT

Ketanah Jawa berhari-hari
Mencari gadis bersanggul rapat

Teman ketawa senang dicari
Teman menangis sukar didapat.

Anak beruk mencari makan
Diatas bangsal pisang dicari
Baik dan buruk perlu bezakan
Agar tak kesal dikemudian hari.

Orang Daik bertanam lada
Di Batu Pahat benih dibeli
Berbuat baik biar berpada
Berbuat jahat jangan sekali.

Bangsal diulu berikat rotan
Buat buaian sianak teruna
Menyesal dahulu pendapatan
Menyesal kemudian tidak berguna.

Buat buaian sianak teruna
Berdendang remaja ditengahari
Menyesal kemudian tidak berguna
Bertaubat lah saja pada Ilahi

Tanam lada dipinggir kali
Tanam pulasan silih berganti
Hidup kita hanya sekali
Ingatkan balasan diakhirat nanti.

salam pengenalan

Saudara saudari sekelian,
Puisi Melayu kian lama kian dilupakan apatah lagi dizaman sains & teknologi dan dizaman manusia lebih suka berbicara soal ekonomi,hiburan masakini,sukan,politik semasa dsbnya.
Oleh itu saya mengambil initiative untukmenghidupkan semula kesenian bahasa melalui puisi-puisi Melayu walau pun sebenarnya saya bukanlah seorang yang arif dalam bidang sastera mau pun penulisan. Puisi-puisi yang akan saya paparkan ada yang dipetik dari puisi-puisi tradisional yang mashur didalam masyarakat Melayu samada diambil secara terus atau pun telah diolah oleh saya sendiri mengikut kesesuaiannya. Namun begitu ada juga puisi-puisi ciptaan saya sendiri dalam proses pembelajaran untuk menghidupkan semula kesenian yang hampir luput ini.
Apa itu puisi?
*Menurut Pendita Zaaba - Puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan serta kecantikan bahasa. Sebagai karangan berangkap,puisi itu disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat. Diantara sekerat dengan sekerat biasanya berjodohbunyi atau rentak atau isinya serta kebanyakannya memakai timbangan atau sukatan tertentu.

*dipetik dari buku Dunia puisi dalam penelitian dan pengajaran.
   tulisan Dharmawijaya, terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. Shah Alam 1998.

Sebagai permulaannya saya akan bermula dengan pantun kemudiannya InsyaAllah akan disusuli dengan syair,seloka,gurindam dan sajak.
Sebagai tambahan saya akan selitkan dengan kata-kata hikmah,petikan hadis & alquran dsbnya sebagai renongan dan ingatan kita bersama.Juga saya selitkan tips kesihatan semoga memberi faedah bagi kita semua.
Semoga usaha ini mendapat keberkatan & perlindungan Allah subhanahuwataala dan mendapat sambutan masyarakat, amin.