13 June 2011

Berbalas Pantun - Suami Isteri

Suami:
Malam ini malam Jumaat
Banyakkan amal kurang beradu
Kepada abang mengaku taat
Kenapa adik tak rela dimadu?

Isteri:
Banyakkan amal kurang beradu
Suara takbir sayup memanggil
Bukan saja tak suka dimadu
Dengar madu adik dah menggigil

Suami:
Orang Kelantan sukakan budu
Hamba pula sukakan limas
Apa menggigil hendak dimadu
Bukankah dijanji payung emas

Isteri:
Kuning kunyit merah saga
Pahit jadam umpama hempedu
Sudah berdua hendak bertiga
Apa nikmatnya hidup bermadu?

Suami:
Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Menambah isteri tak perlu di ajar
Tatkala suami dah cukup kemampuan

Isteri:
Adik beradik sepusat sepusing
Bukan seibu bukan sepupu
Selicin belut seligat gasing
Pandai berdalih bijak menipu

Suami:
Pahit jadam umpama hempedu
Manis rasanya sigula batu
Alangkah bahagia hidup bermadu
Tolong menolong bantu membantu

Isteri:
Buat bubur dibubuh pandan
Agar baunya harum semerbak
Itulah alasan orang jantan
Bila dah dapat adilnya tidak.

No comments:

Post a Comment