21 July 2013

Pantun- Sayang Laksamana Mati Dibunuh (2)

Sayang Laksamana mati dibunuh
Mati dibunuh Sultan berdaulat
Bukan tanaman tak mau tumbuh
Tapi terbiar diserang ulat

Sayang Laksamana mati dibunuh
Mati ditikam anak Sandakan
Ku harap hujan mendengar guruh
Air tempayan dah ku curahkan

Sayang Laksamana mati terbunuh
Mati terjatuh dalam perigi
Walau pun luka telah pun sembuh
Parutnya masih tak hilang lagi.
                          Gambar hiasan: Perkampungan nelayan Bayan Lepas, Pulau Pinang.


19 July 2013

Seloka nasihat

Kalau hidup gunakan akal
Segala kerja tak jadi sukar
Kalau hidup seperti 'keramat'
Segala kerja menjadi lambat

Kalau kail panjang sejengkal
Laut yang dalam jangan diduga
Kalau hidup tidak berakal
Modal hilang kalau berniaga

Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama
Mahukan hati sentiasa tenang
Beramal makruflah selama-lama

Kecil-kecil ditimang ibu
Sudah besar ditimang gelombang
Dari kecil menuntut ilmu
Sehingga besar iman tak goyang

Alang-alang menyelup pekasam
Biar sampai kepangkal lengan
Kalau muka sentiasa masam
Tak dapat kawan; berniaga pun jangan.

01 July 2013

Seloka Ramadhan

Bulan Ramadhan dah hampir tiba
Mari semua kita berpuasa
Jangan ada yang buat lupa
Makan tengahari seperti biasa...

Bulan Ramadhan ditunggu-tunggu
Mari beramal dengan ikhlas
Janganlah tuan merasa ragu
 Amalan puasa Allah yang balas

Bulan Ramadhan bulan ibadat
Segala amalan semua diangkat
Syaitan iblis semua diikat
Jangan lupa keluarkan zakat

Bulan Ramadhan bulan mulia
Ditunggu oleh alim ulama
Sebulan puasa sehari beraya
Tapi bukan di Malaysia...

Di negeri kita lain bicara
Puasa tak penuh sebulan beraya
Bulan Ramadhan makan istimewa
Segala juadah ada belaka

Bila dah hampir nak hariraya
Sibuklah kita ke pasaraya
Solat tarawikh dah tak bicara
Asyik ingat nak bersukaria

Mohon ampun segala dosa
Kalau saya terkasar bahasa
Ini hanya seloka puasa
Salah dan silap maafkan saya.

31 May 2013

Pantun- Pasca PRU 13

Lama sudah tidak ke Tamu
Membeli akhbar duduk bersembang
Lama sudah tidak bertemu
Apa khabar adik dan abang?

Air sejuk dari perigi
Perigi digali bukannya dalam
Bukan merajuk membawa diri
Cuma sibuk nak tegakkan Islam

Orang kaya bertambah kaya
Orang miskin jadi suruhan
Apa daya apa upaya
Rakyat tak mahu buat perubahan

Cuaca diramal tiada hujan
Angin kencang terus-terusan
Usaha dan amal kita lakukan
Takdir Allah diluar batasan

Rumah Cik Nyonya orang bertamu
Tetamu datang dari Pekan
Tidak ditanya kejayaan kamu
Perintah Allah telah jalankan?