Aduhai Malangnya Rindu
I
kubiarkan rindu ini bertabur
pada aspal resah
bagai mimpi yang punah
biarkanlah...
biarkanlah rindu meratah sepi
memamah luluh sebuah harapan
pada cinta yang pergi
dan tak tahu jalan pulang
II
izinkan aku
menatap redup matamu
yang basah dengan kesetiaan
yang penuh bersarang harapan
moga esok pagi senyum mentari
pasti ada buat kita
ingin kuhadiahkan padamu
semuanya...
segalanya...
sebagai hantaran cinta
tapi benarkah ada cinta?
atau semuanya dusta belaka?
bagai fatamorgana dunia
menguji ketaatan insan
dan aku ini siapa?
lalu cintaku milik siapa?
betullah katamu
cinta itu milik sekeping hati
dan akan tetap begitu
cinta ini milik hati ini
bukan milik sesiapa
III
bagaimana lagi...
harus kupujuk hati ini
agar tidak luka kerana rindu
terbiar hampa membilang sepi
dalam dingin dinahari
sedang kasihmu hangat membakar
dalam pelukan mesranya...
IV
akukah itu...???
yang merenget minta dimanjakan
yang merintih minta dibelai
yang merindu minta dikasihi
ah! itu bukan aku...
aku pantai lesu
yang tak pernah letih menunggu
bayu lembut membisik rindu
lalu aku terleka
seolah bayu itu tak pernah dusta
sedang ribut dan taufan melanda
membawa perkhabaran
tengkujuh akan tiba
dan titis hujan mengalir deras
membasahi pipi
kerana air mata sudah terlalu murah
bagai rindu ini
tiada harganya...
Nukilan Dang Anum Disember 2010
No comments:
Post a Comment