27 June 2011

Pantun Budi Bahasa

Kalau terpijak pisau belati
Tentu terluka teramat bisa
Bahasa yang cantik anugerah Ilahi
Berbudi bahasa pusaka bangsa

Pergi Peramu membeli gergaji
Jalan nya teruk berlopak berbatu
Orang berilmu tak minta di puji
Baik buruk sahabat yang tahu

Jalan teruk berlopak berbatu
Musim mengundi baru di turap
Tingkah perangai sahabat yang tahu
Sopankah atau tidak beradap

Pantun gurindam pusaka bangsa
Wajib diwarisi setiap generasi
Seloka dan madah hiasan kata
Tanda beradap pelengkap diri.

13 June 2011

Berbalas Pantun - Suami Isteri

Suami:
Malam ini malam Jumaat
Banyakkan amal kurang beradu
Kepada abang mengaku taat
Kenapa adik tak rela dimadu?

Isteri:
Banyakkan amal kurang beradu
Suara takbir sayup memanggil
Bukan saja tak suka dimadu
Dengar madu adik dah menggigil

Suami:
Orang Kelantan sukakan budu
Hamba pula sukakan limas
Apa menggigil hendak dimadu
Bukankah dijanji payung emas

Isteri:
Kuning kunyit merah saga
Pahit jadam umpama hempedu
Sudah berdua hendak bertiga
Apa nikmatnya hidup bermadu?

Suami:
Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Menambah isteri tak perlu di ajar
Tatkala suami dah cukup kemampuan

Isteri:
Adik beradik sepusat sepusing
Bukan seibu bukan sepupu
Selicin belut seligat gasing
Pandai berdalih bijak menipu

Suami:
Pahit jadam umpama hempedu
Manis rasanya sigula batu
Alangkah bahagia hidup bermadu
Tolong menolong bantu membantu

Isteri:
Buat bubur dibubuh pandan
Agar baunya harum semerbak
Itulah alasan orang jantan
Bila dah dapat adilnya tidak.

pantun wang ringgit

Burung serindit merah dadanya
Terbang sekawan ditepi paya
Wang dan ringgit kebesaran dunia
Intan berlian dipandang mulia

Burung serindit merah dadanya
Sayup-sayup terdengar suara
Wang dan ringgit tiada gunanya
Kalau hidup tak berbudi bahasa

Burung serindit biru dadanya
Terbang sekawan mana haluannya
Wang dan ringgit apa perlunya
Hanya  sekadar untuk belanja

Burung serindit dadanya biru
Turun hinggap di pohon sena
Wang dan ringgit jangan diburu
Kalau rezeki tidak kemana

Burung serindit dadanya biru
Turun makan sipadi huma
Wang dan ringgit jangan diburu
Keredhoan tuhan lebih utama.

07 June 2011

POLIGAMI

Sedangkanlidah lagi tergigit
Inikan pula suami isteri
Isteri masak nasi hangit
Bakal madunya terpaksa dicari.

Pergi bercanda menaiki van
Berhenti mandi di Lata Berkah
Alasan anda tidak releven
Tahu dek Kadi tak jadi menikah.

Pulau Pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Menambah isteri jangan berlengah
Sementara muda dan banyak tenaga.

Jeruk cermai sangatlah enak
Apa kurang nya jeruk kelubi
Isteri ramai berderet anak
Banyak keturunan murah rezeki.

Kain batik pilihan nyonya
Dipakai sekali bersama baldu
Walau pun madu manis rasanya
Bagi wanita bagai hempedu.

Masam sungguh si buah kandis
Idaman isteri berbadan dua
Madu itu tabi'e nya manis
Jangan bertukar menjadi cuka.

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan
Kalau isteri tua sudah tak suka
Ke isteri muda hamba adukan.