25 March 2011

Pantun - Sayang Sarawak.

Sayang Sarawak sungainya sempit
Nakhoda kapal bersusah hati
Hendak ku fikir hati ku sakit
Hendak ku biar tak sampai hati

Sayang Sarawak sungainya sempit
Nakhoda kapal bersusah hati
Berapa banyak wang dan ringgit
Habis dilabur nak beli undi

Sayang Sarawak sungainya sempit
Nakhoda kapal bersusah hati
Projek 'mee segera' bukan nya sikit
Berbagai sumpah berbagai janji

Sayang Sarawak sungainya sempit
Nakhoda kapal bersusah hati
Pemimpin uzur dah sering sakit
Tapi tak mahu cari pengganti

Sayang Sarawak sungainya luas
Perahu layar berisi sendat
Selagi hidup rasa tak puas
Dah perintah negeri sesuku abad

Sayang Sarawak sungainya luas
Perahu layar berisi sendat
Rakyat susah pemimpin puas
Hidup mewah umpama Sadat

Sayang Sarawak sungainya luas
Perahu layar berisi sendat
Kita hendaklah berpandangan luas
Ubah sekarang bahagia rakyat.

Seloka - Budak.

Mandi dengan budak; keruh air di ulu
Makan dengan budak; habis lauk dulu
Tidur dengan budak; putus tali kelambu
Kahwin dengan budak; tak kering bulu.

16 March 2011

Pantun kasih

Anak Cina memasang lukah,
Lukah dipasang di Tanjung Jati,
Didalam hati tidak berubah,
Sebagai rambut disimpul mati.

Batang selasih permainan budak,
Daun selasih bercabang tiga,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.

Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
Hendak mati dihujung kuku,
Hendak berkubur ditapak tangan.

Kalau tuan mudik kehulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya dipintu syurga.

Renungan - Tunjuk.

Orang pandai tak akan menunjukkan kepandaian nya,
Orang kaya tak akan menunjukkan kekayaan nya,
Orang kuat tak akan menunjukkan kekuatan nya,
Hatta,..orang malu pun tak akan menunjukkan kemaluan nya.


                                                                   Oleh Wali.

Tips kesihatan - Khasiat misai kucing.

Daun dan akar pokok misai kucing banyak khasiatnya. Rebus dan minum airnya sebagai penawar pelbagai penyakit seperti kencing manis, gout, diuratic, panas badan, atau karang dsbnya.
Tahukah anda? Tea cina dibuat dari daun misai kucing yang dikeringkan. Anda boleh membuatnya sendiri...selamat mencuba.

04 March 2011

Pantun Seloka - Kerdau oh Kerdau.

Kerdau oh Kerdau
Kenapa engkau sibuk?
Bagaimana aku tak sibuk
Menteri keluar masuk..
Menteri keluar masuk.


Menteri oh menteri
Kenapa keluar masuk Kerdau?
Bagaimana aku tak keluar masuk Kerdau
Bawa bajet banyak..
Bawa bajet banyak.


Bajet oh bajet
Kenapa engkau banyak?
Bagaimana aku tak banyak
Takut undi lari..
Takut undi lari


Undi oh undi
Kenapa engkau lari?
Bagaimana aku tak lari
Wang kurang masuk..
Wang kurang masuk


Wang oh wang
Kenapa kurang masuk?
Bagaimana aku tak kurang
PRK banyak sangat..
PRK banyak sangat


PRK oh PRK
Kenapa kau banyak sangat?
Bagaimana aku tak banyak
ADUN sakit tenat..
ADUN sakit tenat


ADUN oh ADUN
Kenapa kau sakit tenat?
Bagaimana aku tak tenat
Ikut nafsu rakyat..
Ikut nafsu rakyat.