27 December 2010

Selamat Tahun Baru

Selamat tahun baru
Pada muslimin muslimat
Jangan terburu-buru
Nanti perjalanan tidak selamat

Selamat tahun baru
Pada semua rakyat
Jangan terburu-buru
Dah ramai yang jadi mayat

Selamat tahun baru
Buka sekolah mula belajar
Jangan terburu-buru
Takkan lari gunung dikejar

Selamat tahun baru
Dari Labis terima surat
Hati hamba rasa terharu
Ramai gadis tak tutup aurat

Selamat tahun baru
Tahun naga tahun bertuah
Hati hamba rasa terharu
Anak bangsa menjual maruah

Selamat tahun baru
Tahun kuda berlalu sudah
Hati hamba rasa terharu
Segala dosa terampunkah sudah

Renungan- Hadis

Barang siapa yang diuji sesuatu dari urusan anak-anak perempuannya lalu ia berbuat baik kepada mereka.Maka anak-anak perempuan itu menjadi pelindungnya dari neraka.
                                               (hadis riwayat Bukhari&Muslim)

17 December 2010

Pantun- anak ayam turun sepuluh

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Sudah terang lagi bersuluh
Dato' Najib tak mahukan Islam

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
"Islam hadari" dah tidak hebuh
"Satu Malaysia" yang jadi slogan

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor inggal sembilan
Nasihat Yahudi yang dia patuh
Tolak "hadari" dan tolak Islam

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Parti Islam bersungguh-sungguh
Slogan "membangun bersama Islam"

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Berusahalah kita bersungguh-sungguh
Daulatkan negara,daulatkan Islam

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Apa lagi ditangguh-tangguh
Umno dan BN kita tinggalkan.

Renungan- alquran & sunah

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selamanya selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu kitabullah (al-quran) dan sunah rasulNya.
                                                                                                               Hadis riwayat Imam Malik.

16 December 2010

Pantun- rokok

Ayam siapa rajin berkokok
Ayam saya dah buat kari
Buat apa menghisaap rokok
Buat habiskan duit sendiri

Ayam siapa rajin berkokok
Ayam saya dah buat kari
Buat apa menghisap rokok
Rosakan kesihatan diri sendiri

Ayam siapa rajin berkokok
Ayam saya dah buat kari
Buat apa menghisap rokok
Hanya bantu ekonomi Yahudi

Ayam siapa rajin berkokok
Ayam saya dah buat kari
Dermakan saja duit rokok
Agar si yatim boleh berdikari

Ayam siapa rajin berkokok
Ayam saya dah buat kari
Dermakan saja duit rokok
Balasan baik diakhirat nanti.

Renungan- Muzakarah Jawatankuasa Fatwa.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 membuat keputusan bahawa:

"Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan."

Infoline berhenti merokok 03-88834400

Tips kesihatan - mental terapi

Sentiasa amalkan ibadat-ibadat sunat seperti solat dhuha, tahajut dsbnya, puasa sunat, sentiasa membaca al-quran serta amal-amal kebajikan.Dimasa yang sama, tinggalkan  amalan tak berfaedah seperti menghisap rokok, InsyaAllah, anda akan sihat & terhindar dari penyakit-penyakit kronik.

07 December 2010

Gurindam - hidup

Carilah ilmu penuhkan dada
Hidup kita tak akan rugi
Kalau dahulu serba tak ada
Mulai sekarang kenalah cari

Awas selalu setiap bicara
Jangan sampai terguris hati
Tambahlah sahabat setiap masa
Musuh yang ada kecilkan lagi

Baik yang tua mahu pun muda
Selalulah kita berbaiki sangka
Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

Sesal dahulu pendapatan
Sesal kemudian tidak berguna
Cari teman biarlah padan
Bertolak ansur bekerjasama.

06 December 2010

Renungan - Darjat

Dari At Tabrani dan Al-Bazzar, Rasulallah s.a.w. bersabda:
"Mahukah aku tunjukan sesuatu yang akan menaikan darjat mu? Bersopan santunlah dengan mereka yang tidak mempedulikan mu. Maafkan mereka yang menzalimi mu. Berikan kepada mereka yang bakhil terhadap mu. Dan hubungilah mereka yang memutuskan sirotulrahim dengan mu".

Tips Kesihatan - Pulihkan cirit birit

Jika anda mengalami cirit birit kerana tersalah makan atau alahan dengan makanan, ambil sehelai daun jambu batu yang muda atau pucuknya. Bersihkan dan kunyah begitu sahaja seperti makan sirih atau boleh juga dijadikan ulam. Lakukan sehingga cirit birit berkurangan.